KERAJAAN NEGERI KOMITED PASTIKAN SEKOLAH, RUMAH IBADAT TIDAK TERPINGGIR

sabahheadlines
5 Min Read

KOTA KINABALU,24 November – Tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu dan rumah ibadat yang  terpinggir daripada sokongan pembangunan kerajaan selaras dengan komitmen Kerajaan  Negeri memastikan bantuan disalurkan secara adil dan saksama kepada semua masyarakat. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri akan terus  memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat serta memastikan pembangunan  negeri memberi manfaat kepada semua, tanpa mengira kaum dan agama. 

“Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan  Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 pada hari ini bukan sebuah majlis bermusim. Ini adalah  tanggungjawab hakiki dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran kerajaan  negeri hari ini. 

“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu, dan tiada rumah ibadat  yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan daripada kerajaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan  Keagamaan Bukan Islam di The Pacific Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan,  Datuk Seri Panglima Masidi Manjun. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan bantuan berkenaan sebanyak RM20  juta, daripada RM70 juta pada 2025 kepada RM90 juta tahun ini sebagai manifestasi komitmen  memberikan perhatian lebih besar kepada keperluan sekolah dan badan keagamaan bukan  Islam di seluruh Sabah. 

Katanya, peningkatan peruntukan itu juga mencerminkan komitmen kerajaan memastikan akses  kepada pendidikan lebih baik selain membantu penyelenggaraan bangunan, aktiviti  pembelajaran dan pengoperasian badan keagamaan demi keselesaan bersama. 

Beliau berkata, bagi tahun ini, Kementerian Kewangan menerima sebanyak 339 permohonan  bantuan daripada sekolah dengan jumlah keseluruhan peruntukan dipohon RM107.27 juta,  membabitkan lima kategori sekolah yang dibenarkan. Daripada jumlah itu, RM40 juta diluluskan  untuk disalurkan kepada 320 sekolah yang memenuhi syarat permohonan. 

“Manakala sebanyak 1,810 permohonan bantuan daripada tokong, kuil dan pelbagai  denominasi gereja di Sabah diterima tahun ini, dengan jumlah peruntukan dipohon mencecah  RM235.30 juta. Daripada jumlah berkenaan, RM50 juta disalurkan kepada 1,761 buah badan  keagamaan bukan Islam”, katanya.

Hajiji berkata, kerajaan memahami keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar daripada  peruntukan yang ada, namun bantuan disediakan berdasarkan keutamaan, keperluan dan  kemampuan kewangan kerajaan supaya dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan. 

“Apabila kemampuan kewangan kerajaan mengizinkan, kita akan terus berusaha meningkatkan  sokongan dan bantuan kepada rakyat serta institusi yang memainkan peranan penting dalam  pembangunan masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata, kekuatan Sabah pada masa hadapan bergantung kepada kualiti generasi muda  manakala pelbagai perancangan pembangunan negeri memerlukan modal insan yang berdaya  saing, berilmu dan berkemahiran. 

Katanya, pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan bagi memastikan anak anak Sabah mendapat peluang lebih baik untuk belajar, berkembang dan mencapai cita-cita. 

“Kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi sekarang hanya menjadi penonton kepada  pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan  menentukan masa depan Sabah,” katanya. 

Menurutnya, pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)  membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di  institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah, selain memberi peluang kepada mereka  memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. 

Katanya, langkah itu mencerminkan keterbukaan dan keyakinan kerajaan terhadap  kepelbagaian aliran pendidikan yang wujud di negeri ini dengan matlamat melahirkan modal  insan berkualiti, berilmu pengetahuan, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada  pembangunan dan kemajuan Sabah. 

Hajiji berkata, kerajaan akan terus mempertahankan keharmonian yang menjadi kekuatan  masyarakat Sabah dengan kepelbagaian kaum, agama dan tradisi bukan titik perpecahan  sebaliknya nadi kekuatan yang mengukuhkan perpaduan. 

Beliau berkata, semangat saling menghormati dan bermuafakat perlu terus dipelihara bagi  memastikan Sabah kekal sebagai negeri yang maju, stabil, harmoni serta memberikan ruang  dan peluang kepada semua. 

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus berusaha memastikan semua kaum, tanpa mengira  warna kulit dan fahaman agama, mendapat pembelaan yang adil dan saksama selain sentiasa  menyokong institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang memerlukan  bantuan. 

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat,  menjaga keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada  semua”, katanya. 

Share This Article