KOTA KINABALU, 23 November – Penangguhan sementara tindakan perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, bukan bermakna operasi penguatkuasaan itu dibatalkan, sebaliknya akan diteruskan selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selesai.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah berkata, keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rayuan pelajar yang keluarga mereka terjejas akibat tindakan perobohan berkenaan.
Menurutnya, penangguhan itu memberi ruang kepada pelajar terbabit menduduki peperiksaan SPM dengan lebih tenang, tanpa mengetepikan keperluan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.
Beliau berkata, keputusan berkenaan memperlihatkan keseimbangan antara ketegasan kerajaan dalam memastikan undang-undang dipatuhi dengan pertimbangan kemanusiaan khususnya membabitkan masa depan pendidikan generasi muda.
“Penangguhan atas dasar ihsan ini bukan lesen untuk mengetepikan undang-undang. Tempoh yang panjang sudah diberikan dan kawasan berkenaan telah lama digazetkan sebagai kawasan peranginan bukannya penempatan setinggan tanpa kawalan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Aksyah berkata, tindakan penguatkuasaan itu perlu dilihat dalam konteks perancangan pembangunan semula kawasan strategik di Pulau Gaya berdasarkan status pewartaan asal kawasan berkenaan.
Katanya, pembangunan sektor pelancongan dan peranginan secara terancang berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Manfaat itu juga dijangka melibatkan peniaga kecil, pengusaha bot, pembekal tempatan dan sektor perkhidmatan di sekitar Kota Kinabalu, sekali gus berpotensi meningkatkan hasil negeri bagi membiayai pembangunan serta kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, Aksyah turut mempersoalkan langkah yang diambil kerajaan terdahulu ketika Parti Warisan mentadbir Sabah, khususnya dalam mencari penyelesaian terhadap isu penempatan di kawasan berkenaan.
Beliau mempersoalkan mengapa isu itu tidak diselesaikan ketika parti berkenaan mempunyai kuasa pentadbiran, termasuk melalui penyediaan penempatan baharu dan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk yang terbabit dapat mengambil maklum budi bicara kerajaan negeri dengan mematuhi arahan pihak berkuasa selepas peperiksaan SPM selesai.
Tegasnya, penangguhan sementara itu tidak seharusnya disalahertikan sebagai kelemahan kerajaan, sebaliknya mencerminkan pendekatan yang mengambil kira aspek kemanusiaan tanpa mengabaikan pematuhan undang-undang serta kepentingan pembangunan jangka panjang Sabah.
