KM MAHU PPM LEBIH PROAKTIF SAMPAIKAN DASAR DAN PENCAPAIAN KERAJAAN

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU, 23 November – Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pemaju mukim di Sabah diminta lebih proaktif turun padang bagi mengenal pasti keperluan rakyat serta menyampaikan dasar dan pencapaian kerajaan kepada masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, PPM dan pemaju mukim merupakan tulang belakang kerajaan di peringkat akar umbi yang memainkan peranan penting memastikan dasar kerajaan dapat diterjemahkan dan difahami rakyat.

Beliau berkata, mereka juga bertanggungjawab membawa permasalahan serta keperluan masyarakat kepada wakil rakyat, menteri dan kepimpinan kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Apabila turun padang, kita mesti pandai mendengar masalah rakyat dan melaporkannya kepada wakil rakyat, menteri serta Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam Ahad.

Hajiji turut menegaskan kepentingan integriti, amanah dan kerjasama penuh PPM serta pemaju mukim dengan wakil rakyat yang memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

Katanya, permohonan dan keutamaan pembangunan di kawasan berkenaan perlu disalurkan menerusi saluran yang betul, bukannya dikemukakan oleh pihak yang tidak sepatutnya seperti kontraktor.

Dalam pada itu, beliau mahu PPM dan pemaju mukim membantu menjelaskan pencapaian kerajaan sepanjang lima tahun lalu serta perancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion bagi membantu anak Sabah dalam bidang pendidikan sepanjang lima tahun lalu, termasuk lebih RM600 juta untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 pelajar.

Antara bantuan lain termasuk RM200 kepada setiap pelajar Tingkatan Lima sebelum menduduki peperiksaan, melibatkan kira-kira 35,000 hingga 40,000 pelajar setahun.

Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan RM300 kepada pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negeri bagi membolehkan mereka pulang menyambut perayaan Kaamatan, Hari Raya dan Krismas, selain subsidi tiket penerbangan RM600 setahun kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung.

Dalam aspek kebajikan, kira-kira 140,000 penerima yang layak menerima bantuan RM200 setiap bulan menerusi inisiatif SYUKUR manakala lebih 11,000 rumah dibina melalui program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menyentuh isu bekalan air, Hajiji berkata, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1 bilion bagi projek pembinaan loji rawatan air sepanjang lima tahun lalu.

Antaranya termasuk projek loji rawatan air Tawau yang mencapai kemajuan fizikal sekitar 50 hingga 60 peratus menerusi pinjaman mudah hampir RM400 juta, manakala projek loji rawatan air Kogopon di Papar dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Katanya, kerajaan negeri turut memperoleh pinjaman mudah RM300 juta bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air di seluruh Sabah dengan beberapa projek sudah siap dan selebihnya dijangka siap tahun depan.

Bagaimanapun Sabah masih berdepan kadar air tidak berhasil (NRW) sekitar 60 peratus akibat kecurian air dan kebocoran paip. Sehubungan itu RM100 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip lama dan rosak di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Kudat dan Pulau Banggi.

Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri sedang melaksanakan projek Empangan Ulu Padas menerusi kerjasama Sabah Energy Corporation dan syarikat swasta Gamuda, yang dijangka mampu membekalkan tenaga elektrik serta air untuk tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang.

Projek berkenaan dijangka siap pada 2030 atau 2031.

Hajiji turut mengingatkan PPM supaya membantu menjelaskan isu pembangunan jalan raya dan kemudahan awam berdasarkan fakta, termasuk membezakan bidang tanggungjawab kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, peranan itu penting bagi memastikan rakyat, khususnya mereka yang tidak mengikuti perkembangan menerusi media sosial, mendapat maklumat tepat dan tidak terkeliru mengenai usaha serta pencapaian kerajaan.

Share This Article