SANDAKAN, 22 November – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan rompakan berkumpulan menggunakan senjata tajam dalam satu operasi di kawasan Batu 3, Sandakan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George bin Abd. Rakman berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3 pagi menerusi Op Sentap yang dijalankan di kawasan setinggan di belakang Bandar Letat Jaya, Jalan Lintas Utara.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dan rampasan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter yang mempunyai sarung berwarna merah.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes samun berkumpulan yang berlaku pada 1 Jun lalu membabitkan kerugian kira-kira RM1,300.
Suspek turut dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah lain di daerah ini dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
