WANITA OKU BERUSIA 33 TAHUN DITEMUKAN LEMAS DI SUNGAI DI TAWAU

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 10 November – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual berusia 33 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sungai berhampiran Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini hari ini.

Mangsa yang tidak boleh bertutur itu dilaporkan hilang oleh bapanya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum penduduk kampung menjalankan usaha pencarian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 1.56 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa ditemukan penduduk kampung di kawasan tebing sungai berhampiran Taman Green pada jam 2 petang.

Pasukan bomba yang tiba tujuh minit kemudian bertindak membawa mangsa naik ke darat menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 2.30 petang untuk tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan 10 anggota BBP Tawau itu turut mendapat bantuan 10 anggota polis dan tiga anggota KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.38 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Share This Article