KOTA KINABALU, 6 November – Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal berjaya ditemukan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Mangsa ditemukan pasukan bomba pada jam 2.20 petang di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
Ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 6.29 petang, 4 November sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi.
Maklumat awal daripada keluarga memaklumkan mangsa kali terakhir dilihat pada jam 4.30 petang, 3 November dalam keadaan kebingungan di kawasan tepi jalan kampung.
Operasi pencarian hari pertama dimulakan bersama penduduk kampung di kawasan antara tanah perkuburan, kandang ayam dan kebun pisang sebelum ditangguhkan pada jam 8 malam untuk disambung keesokan harinya.
Pada hari kedua, operasi SAR diperluaskan dengan membabitkan tiga kumpulan pencarian terdiri daripada anggota BBP Lintas, Unit Anjing Pengesan (K9) dan penduduk kampung, meliputi radius dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
