PESURUHJAYA POLIS SABAH LAKUKAN LAWATAN KERJA KE IPD DAN POLIS MARIN LAHAD DATU

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 28 Oktober – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4, semalam.

Lawatan itu bertujuan menyampaikan amanat kepimpinan, memperkukuh integriti serta meningkatkan komitmen warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Di IPD Lahad Datu, beliau menyampaikan amanat yang menekankan kepentingan pendidikan, disiplin dan ketabahan dalam membina kerjaya selain mengingatkan warga polis supaya mengutamakan kebajikan keluarga serta merancang masa depan.

Beliau turut menegaskan bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kejayaan sebaliknya setiap anggota perlu sentiasa berusaha, menjaga integriti dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Lawatan kemudian diteruskan ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Lahad Datu yang menyaksikan sambutan hormat serta lintas hormat bot-bot tempur pasukan berkenaan.

Dalam ucapannya, Datuk Jauteh menyatakan keyakinan bahawa Pasukan Polis Marin akan terus maju dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman perairan Sabah meskipun berdepan kekangan logistik.

Lawatan itu turut menjadi penghargaan kepada kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menerajui PDRM Sabah sejak 1 Mei 2023 menjelang persaraan beliau.

Share This Article