KUDAT, 27 Oktober – Seorang lelaki warga Filipina berusia lingkungan 20-an ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan, Kudat, malam Isnin.
Mangsa ditemukan oleh sekumpulan nelayan yang menjalankan pencarian melalui kaedah selaman di sekitar lokasi kejadian pada jam 10.20 pagi, Selasa.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat pada jam 10.37 malam, 26 Oktober yang memaklumkan kejadian berkenaan.
Pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke laut dari kapal yang sedang berlabuh di jeti berkenaan.
Rakan mangsa yang menjadi saksi kejadian turut berusaha mencari mangsa dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh namun gagal menemuinya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya dijalankan oleh pasukan bomba bersama pihak polis menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
Bagaimanapun operasi ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap dan disambung semula pada pagi Selasa.
Operasi pencarian hari kedua bermula pada jam 9.20 pagi dengan menggunakan bot penyelamat bomba di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
Mangsa ditemukan pada jam 10.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 14 anggota bomba daripada BBP Kudat dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat bersama agensi lain termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan pada jam 11 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
