LAHAD DATU, 25 Oktober – Polis menahan enam individu, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada isu cemburu di sebuah restoran di bandar ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Haji Ismail, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi.
Menurut maklumat awal, pergaduhan yang berlaku di Restoran Fook Yuen itu dipercayai berpunca daripada isu cemburu membabitkan seorang pekerja lelaki yang dikenali sebagai Lan dengan seorang pekerja wanita di premis berkenaan.
Situasi dipercayai menjadi tegang apabila teman lelaki wanita terbabit serta beberapa individu lain turut terlibat sehingga mencetuskan pergaduhan.
Kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai selepas rakaman insiden berkenaan tular di media sosial, memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa individu di premis perniagaan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan kesemua enam individu kira-kira jam 8 malam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 24 Oktober lalu.
Kesemua mereka terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 38 tahun, termasuk individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
