TAWAU, 17 Oktober – Seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dalam kemalangan jalan raya di hadapan Rastamas Tawau, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.33 tengah hari penunggang motosikal jenis Honda RS itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Axia berkenaan membuat pusingan U sebelum dilanggar motosikal terbabit.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Ahmad Pramuja bin Zainadun, berkata kemalangan itu melibatkan tiga mangsa termasuk seorang penumpang Perodua Axia yang tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik (spreader) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemandu Perodua Axia, seorang wanita berusia 31 tahun dan penumpang wanita berusia 40 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan lima anggota BBP Tawau itu ditamatkan pada jam 1.14 tengah hari selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Turut membantu operasi ialah tiga anggota KKM dan empat anggota polis.
