TAWAU, 17 Oktober – Sebanyak 16 rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 2, Jalan Apas, Lorong Fook Hwa, di sini, malam tadi manakala kira-kira 300 rumah lain berjaya diselamatkan daripada turut terbakar.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.31 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan rumah kediaman jenis tidak kekal sebelum api merebak dan melibatkan 16 rumah.
Kebakaran yang melibatkan anggaran keluasan 52 x 95 meter persegi itu berjaya dikawal pada jam 11.55 malam.
Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dengan lima pancutan air menerusi sumber daripada tangki jentera bomba, pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka dari parit.
Seramai 43 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, BBP Kunak dan Bomba Komuniti Titingan terlibat dalam operasi berkenaan.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Air dan Sabah Electricity.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.25 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dinyatakan.
