BOMBA JALANKAN RONDAAN SUSULAN GEMPA BUMI, TIADA KEROSAKAN DI TAWAU

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 7 OKT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar Zon 5, Tawau susulan laporan kejadian gempa bumi sederhana di perairan Sandakan, malam tadi.

Operasi yang bermula pada jam 9.51 malam itu melibatkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, diketuai Komander Operasi PBK I Mohd Fazli Rahman.

Pasukan tiba di lokasi pada jam 10 malam sebelum menjalankan pemeriksaan di beberapa kawasan dan bangunan dalam Zon 5 bagi memastikan tiada kesan gegaran atau kerosakan akibat gempa bumi berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kerosakan struktur pada bangunan selain tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan dilaporkan.

Rondaan berkenaan turut melibatkan kawasan operasi BBP Tawau, BBP Semporna, BBP Kunak dan BBP Lahad Datu.

Operasi diisytiharkan terkawal pada jam 10.16 malam manakala pasukan bomba turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan.

Orang awam juga diminta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kejadian kecemasan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.23 malam dan tiada mangsa dilaporkan.

Sebanyak tiga aset digerakkan dalam operasi berkenaan iaitu sebuah LFRT dengan enam anggota, CFRT lima anggota dan EMRS dua anggota.

Share This Article