HARI KELUARGA PUSPANITA SANDAKAN SEMARAKKAM SILATURAHIM, KOMUNITI

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 4 OKT – Dewan Masyarakat Sandakan hari ini bergema dengan kemeriahan apabila Hari Keluarga PUSPANITA Sandakan menghimpunkan ahli keluarga serta komuniti setempat dalam suasana penuh ceria menerusi pelbagai aktiviti kekeluargaan, rekreasi dan kemasyarakatan.

Program anjuran PUSPANITA Daerah Sandakan itu bukan sahaja menyediakan ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga malah turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara organisasi dengan masyarakat setempat.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson; Pengerusi PUSPANITA Daerah Sandakan, Datin Ivy Wong serta Datin Hajah Merdeline Albaris yang turut bertindak sebagai perasmi bersama ADUN N.51 Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak bin Tun Dr. Musa.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, menganyam ketupat, pertandingan makan makanan tradisi serta acara sukaneka yang menceriakan suasana.

Selain itu program turut menyediakan saringan kesihatan, gerai jualan dan kaunter informasi bagi memberi manfaat tambahan kepada pengunjung yang hadir.

Penganjuran Hari Keluarga itu turut mengetengahkan makanan serta budaya tradisi sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghargai warisan tempatan dalam suasana santai dan mesra.

Program berkenaan diharap dapat terus menjadi wadah menyemai semangat kekeluargaan, memperkukuh hubungan komuniti serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Oleh: Jalie Mohamad

Share This Article