PENAMPANG, 2 OKT – Seramai 14 mangsa terjejas banjir di kawasan belakang Loji Rawatan Air Kasigui, Penampang berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang malam tadi.
Ketua Balai BBP Penampang, PKPgB Zeno Tingalan memaklumkan Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.38 malam melalui talian NG999 sebelum tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Setibanya di lokasi pada jam 10.41 malam, pasukan mendapati seramai 14 mangsa terjejas akibat banjir dan memerlukan bantuan untuk dipindahkan ke tempat selamat.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan terjejas pada jam 11 malam sebelum dipindahkan ke PPS Kompleks Sukan Penampang.
Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
Operasi melibatkan kekuatan lapan anggota BBP Penampang terdiri daripada enam anggota menggunakan jentera Fire and Rescue Tender (FRT) serta dua anggota menggunakan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Operasi turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan pada jam 11.45 malam selepas pihak bomba memastikan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada lagi mangsa memerlukan bantuan pemindahan.
Operasi diketuai oleh PBK I Benny Lim.
