KOTA KINABALU, 25 SEPT – Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Perodua Viva yang terbabas sendiri di bahu jalan berhampiran Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.02 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi.
Komander Operasi, PBK I Selvister Yamud berkata pasukan tiba di lokasi pada jam 4.07 pagi dan mendapati sebuah Perodua Viva terbabas sendiri di bahu jalan.
Menurutnya, kemalangan itu pada awalnya dipercayai melibatkan dua mangsa namun seorang daripadanya dilaporkan telah melarikan diri dari lokasi sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Seorang lagi mangsa lelaki didapati tersepit di dalam kenderaan dan operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas hidraulik, iaitu spreader dan cutter,” katanya.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan pada jam 4.29 pagi.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan 10 anggota BBP Lintas dengan kekuatan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), selain bantuan empat anggota PDRM dan dua anggota KKM.
Operasi disahkan tamat sepenuhnya pada jam 5.14 pagi selepas keadaan di lokasi didapati selamat dan tiada lagi bahaya.
