SANDAKAN, 13 SEPT – Sebanyak 714 aduan berkaitan kandungan dalam talian direkodkan di daerah Sandakan sepanjang 2025 hingga Ogos 2026, termasuk 408 aduan membabitkan media sosial.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata angka itu menunjukkan risiko dalam talian boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira usia, latar belakang atau lokasi.
Katanya, internet kini bukan lagi sekadar kemudahan sebaliknya menjadi sebahagian daripada kehidupan harian untuk tujuan pendidikan, komunikasi, perniagaan, mendapatkan maklumat dan mengakses pelbagai perkhidmatan.
“Namun semakin luas ruang digital yang kita terokai, semakin besar tanggungjawab untuk menggunakannya dengan selamat dan bijak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Daerah Sandakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Dewan Serbaguna PPR Taman Harmoni, Sandakan, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan Pegawai Pemaju Mukim Elopura, Jason Pang manakala turut hadir Pengarah SKMM Sandakan, Zaki Musaddad Suyitno.
Vivian berkata pendidikan keselamatan digital perlu diperluaskan ke peringkat komuniti bagi memastikan masyarakat bandar, pinggir bandar dan luar bandar tidak tercicir daripada menikmati manfaat teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.
Katanya, penglibatan Wira Internet Selamat (WIS) tempatan penting dalam menyampaikan mesej keselamatan digital kerana mereka lebih memahami realiti dan cabaran masyarakat setempat.
“Apa yang kita mahu bina bukan sekadar masyarakat yang celik digital, tetapi masyarakat yang mempunyai daya tahan digital,” katanya, sambil menegaskan peranan keluarga dan komuniti penting dalam membendung penipuan, buli siber serta ancaman dalam talian.
Beliau berharap keselamatan internet dapat dijadikan budaya dalam setiap keluarga dan komuniti di Sandakan supaya kemajuan digital terus membawa manfaat tanpa mengorbankan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu Jason Pang menyampaikan watikah Wira Internet Selamat kepada wakil penerima pada majlis berkenaan.
