KILANG VITAMIN E KUNAK HAMPIR SIAP, DIJANGKA MULA BEROPERASI SEBELUM HUJUNG TAHUN

sabahheadlines
2 Min Read

KUNAK, 8 SEPT — Projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang hampir siap dijangka mula mengeluarkan vitamin E sebelum penghujung tahun ini sekali gus membuka peluang baharu kepada Kumpulan Sawit Kinabalu untuk memperluas sumber pendapatan berasaskan produk hiliran sawit.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata perkembangan itu merupakan satu langkah positif dalam usaha Kumpulan Sawit Kinabalu mempelbagaikan aktiviti perniagaan dengan memanfaatkan bahan berasaskan sawit.

Katanya, projek berkenaan dipercayai merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan hasil Kumpulan Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya.

“Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun.

“Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di Off Jalan Jeti Pelabuhan, Kunak, hari ini.

Hajiji berkata, inovasi dalam menghasilkan produk hiliran berasaskan sawit itu diyakini mampu memberikan nilai tambah kepada industri sawit Sabah.

“Saya rasa ini yang pertama di Malaysia. Jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga syarikat kerjasama,” katanya.

Dalam lawatan itu, Hajiji bersama pengurusan tertinggi Sawit Kinabalu turut diperkenalkan kepada SKT3 (Sawit Kinabalu Tocotrienols) iaitu suplemen vitamin E asli yang diekstrak daripada minyak kelapa sawit mentah.

Ketibaan Hajiji dan rombongan di kilang berkenaan disambut Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr. Musa serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg.

Kunak Lipids Sdn Bhd merupakan anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengendalikan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient di Kunak.

Share This Article