SEMPORNA, 8 SEPT – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan lebih RM1 bilion bagi memperkukuh infrastruktur bekalan air di seluruh negeri, termasuk menggantikan paip lama dan uzur dalam usaha menangani masalah gangguan bekalan serta kebocoran.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata peruntukan itu melibatkan pelbagai projek bekalan air yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan kemudahan asas berkenaan dapat dinikmati rakyat dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, beberapa projek berimpak tinggi kini menunjukkan perkembangan positif, termasuk satu projek utama yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini, manakala projek bekalan air di bahagian Tawau pula telah mencapai kemajuan antara 50 hingga 60 peratus.
Katanya, kerja-kerja penggantian paip lama turut giat dilaksanakan di kebanyakan daerah bagi mengurangkan kebocoran fizikal selain menangani isu kehilangan air termasuk akibat kecurian.
“Masalah air ini diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab. Yang penting kita positif dan laksanakan demi kemudahan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Sesi Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 di Jalan Bubul, Semporna, hari ini.
Projek yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, selain menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk.
Pembangunan berkenaan turut dijangka memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Semporna dengan menyediakan ruang perniagaan dan perkhidmatan yang lebih tersusun untuk penduduk serta pelancong.
Selain itu, projek komersial berkenaan turut merangkumi pembinaan sebuah jeti baharu yang akan dilaksanakan oleh pihak pemaju.
Hajiji berkata, penglibatan sektor swasta dalam pembangunan infrastruktur dan komersial itu selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengutamakan dasar mesra pelabur.
“Kita gubal dasar yang memudahkan para pemaju dan pelabur luar datang ke sini. Apabila ada pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang seluas-luasnya untuk rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, usaha menarik lebih banyak pelaburan dan memperkukuh kemudahan asas perlu bergerak seiring bagi memastikan pembangunan negeri dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
