SMK SEPAGAYA SEKOLAH PERINTIS PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI ESSCOM

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 25 JULAI — Kerjasama antara agensi keselamatan dan institusi pendidikan diperkukuh apabila SMK Sepagaya dipilih sebagai sekolah perintis Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM dengan peruntukan RM100,000 bagi menyokong pembangunan kemudahan serta pembentukan sahsiah dan kepimpinan murid.

Program Sekolah Angkat MADANI ESSCOM merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu, ESSCOM dan SMK Sepagaya.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali, berkata program itu bukan sekadar simbolik sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang ESSCOM untuk menjadi rakan strategik institusi pendidikan dalam membangunkan modal insan secara holistik.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE), ESSCOM percaya bahawa pelaburan terbaik untuk keselamatan negara ialah pelaburan terhadap pembangunan insan.

“Sebab itulah ESSCOM menyahut seruan kerajaan MADANI untuk menjadi rakan strategik kepada institusi pendidikan melalui Program Sekolah Angkat MADANI,” katanya.

Menurut Jamaluddin, pemilihan SMK Sepagaya dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan sekolah yang progresif, budaya inovasi yang semakin berkembang serta komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam melahirkan murid seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kepimpinan.

Beliau berkata sebanyak RM100,000 diperuntukkan ESSCOM bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SMK Sepagaya bagi tahun 2026.

Katanya, dua projek utama akan dilaksanakan menerusi peruntukan itu iaitu penyelenggaraan gelanggang sekolah dan Dewan Terbuka Abdullah Munshi.

Selain penambahbaikan kemudahan fizikal, Jamaluddin berkata ESSCOM akan menyokong pelbagai pengisian yang memberi pendedahan kepada murid dalam aspek keselamatan, kepimpinan, disiplin, kerjaya dan pembentukan jati diri.

Program tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron.

Share This Article