PEMBANGUNAN SABAH PERLU DIPERGIAT DI SETIAP DAERAH – HAJIJI

sabahheadlines
4 Min Read

SEMPORNA, 8 SEPT – Pembangunan di Sabah perlu dipergiat di setiap daerah dengan mengambil kira keperluan serta kekuatan setempat bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati seluruh rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan tidak seharusnya tertumpu hanya di Kota Kinabalu atau bandar-bandar besar, sebaliknya perlu diperluaskan mengikut potensi setiap daerah.

Menurutnya, pembangunan komersial di Jalan Bubul, Semporna, perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sabah dan bukan sekadar sebuah projek komersial.

“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat.. kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, sektor pelancongan perlu berkembang seiring dengan perniagaan tempatan bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan serta pekerjaan kepada anak muda Semporna.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat tempatan turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang dicetuskan oleh sektor pelancongan dan pembangunan komersial.

Beliau berkata, kedudukan strategik kawasan komersial Jalan Bubul yang terletak di sepanjang laluan utama Balung–Semporna turut memberi potensi untuk kawasan berkenaan berkembang sebagai kawasan perdagangan dan perniagaan baharu.

“Saya percaya jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik, kawasan ini boleh menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan ekonomi di sekitar Semporna,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mencadangkan supaya aspek pelancongan turut diberi perhatian dalam pembangunan kawasan berkenaan memandangkan lokasinya mempunyai sungai dan berhampiran dengan laut.

Beliau mencadangkan kepada Ampe (Semporna) Sdn. Bhd. supaya mempertimbangkan pembinaan sebuah jeti yang bersesuaian bagi memberi nilai tambah kepada kawasan tersebut.

Katanya, kemudahan itu bukan sahaja boleh menjadi tarikan baharu malah membolehkan orang ramai menikmati pemandangan sungai dan laut bersantai menyaksikan matahari terbenam serta mengambil gambar.

“Kita ingin manfaatkan keindahan yang Allah sudah berikan kepada Semporna ini sebaik-baiknya,” katanya.

Hajiji berkata, tahun ini turut menandakan permulaan fasa baharu pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai kesinambungan usaha menerusi SMJ 1.0.

Katanya, SMJ 2.0 disusun dengan matlamat meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah selain memastikan pembangunan yang dilaksanakan kekal inklusif serta mampan.

“Kita mahu Sabah yang ekonominya lebih pelbagai, lebih banyak memberi peluang kepada rakyat dan kita mahu modal insan yang lebih bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.

“Dan kita mahu pembangunan yang akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif bagi pembangunan melalui pengukuhan infrastruktur, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan serta usaha menarik pelaburan yang bersesuaian.

Pada masa sama katanya, kerjasama dengan sektor swasta dan semua pihak berkepentingan akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat direalisasikan.

Hajiji menegaskan pembangunan Sabah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama sektor swasta, agensi pelaksana, usahawan dan rakyat.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan mesti dapat dirasai masyarakat di bandar dan luar bandar, usahawan besar dan kecil serta golongan muda dan generasi lebih berusia.

“Tidak ada daerah yang terlalu jauh dan tidak ada potensi yang harus kita biarkan begitu sahaja,” katanya.

Share This Article