TAWAU, 6 SEPT – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P190 Tawau memperkemas kekuatan organisasi dan gerak kerja akar umbi menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penaja yang berlangsung hari ini.
Mesyuarat di Bilik Mesyuarat P190 Tawau itu dipengerusikan Ketua Penaja PGRS Bahagian P190 Tawau,Datuk Haji Nizam Ab Titingan yang juga Menteri Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.
Perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur organisasi, penyelarasan gerak kerja serta perancangan strategik bahagian bagi memastikan perkhidmatan dan khidmat kepada rakyat Tawau dapat terus diperkasa.
Dalam mesyuarat sama, barisan kepimpinan Penaja PGRS Bahagian P190 Tawau turut diperkenalkan diketuai Nizam sebagai Ketua Penaja, diikuti Syed Ahmad Syed Abbas sebagai Timbalan Ketua Penaja dan Encik Gan Chee Chan sebagai Naib Ketua Penaja.
Turut dilantik ialah Puan Maimunah Mahmud sebagai Ketua Penaja Pergerakan Wanita, Fandi Ahmat (Pemuda), Puan Nurul Afiqah (Beliawanis), M. Azriansyah (Setiausaha), Datuk Hamild Awang (Bendahari) dan Ts. Mohammad Hafiz Amiruddin (Ketua Penerangan).
Barisan kepimpinan berkenaan menyatakan komitmen untuk melaksanakan amanah yang diberikan serta memperkukuh kerjasama dan gerak kerja parti demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat Tawau.
