SANDAKAN,4 SEPT – Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) terus memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli serta memantapkan hala tuju persatuan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2026 yang berlangsung di Dewan Pendu Puteri Seri Taman, di sini, kelmarin.
Mesyuarat berkenaan turut menjadi platform untuk membincangkan perkembangan, aktiviti serta perancangan persatuan, selain memperkukuhkan usaha menjaga kebajikan, kepentingan dan pembangunan masyarakat Bangsa Sungai di seluruh Sabah.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Pg. Abd Aziz Pg. Damsah.
Presiden SABAS, Datuk Juhari Hj Janan berkata, kekuatan persatuan bergantung kepada kesatuan, kerjasama dan semangat kekeluargaan yang perlu terus dipupuk dalam kalangan seluruh ahli.
“Kita perlu terus bersatu dalam memelihara identiti, budaya dan warisan Bangsa Sungai supaya kekal terpelihara dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.”,katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli serta barisan kepimpinan SABAS atas komitmen dan sokongan yang diberikan dalam memastikan agenda persatuan dapat dilaksanakan dengan baik.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan Penyampaian Penghargaan Pejuang Bangsa Sungai Sabah Terdahulu sebagai tanda penghormatan kepada tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam memelihara, memperjuangkan dan memartabatkan identiti serta warisan Bangsa Sungai di Sabah.
MAT 2026 kemudiannya diteruskan dengan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi SABAS bagi sesi 2026–2028 sekali gus membuka lembaran baharu dalam kepimpinan dan gerak kerja persatuan untuk tempoh akan datang.
Dengan terbentuknya kepimpinan baharu itu, SABAS berharap seluruh ahli dapat terus berganding bahu memperkukuhkan perpaduan serta memastikan persatuan kekal kukuh, relevan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat Bangsa Sungai
