TAWAU, 27 OGOS – Kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian terpakai (bundle) musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, Esbok Rombengan, berhampiran Pasar Tawau, awal pagi tadi.
Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran sekali gus menyelamatkan kira-kira 350 rumah dan lot kedai daripada turut terjejas.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 4.44 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai pada jam 4.51 pagi.
Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya Abd Fatah berkata kebakaran melibatkan kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian terpakai yang dibina daripada struktur tidak kekal.
“Keseluruhan premis yang berkeluasan kira-kira 100 x 120 meter persegi itu musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan,” katanya.
Menurutnya, tiada mangsa cedera atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi, namun operasi pemadaman susulan dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi sisa bara atau bahagian yang masih berisiko mencetuskan kebakaran semula.
JBPM turut memastikan kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
