SANDAKAN,27 OGOS – Cadangan Majlis Perbandaran Sandakan mewujudkan ekonomi malam akan dibincang.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Majiul Mahap berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada kementerian.
“Cadangan itu menyenaraikan dua kategori iaitu berisiko dan tidak berasiko,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Maijol sebelum itu menghadiri program Town Hall MPS Bersama Pemilik-Pemilik Kedai Pusat Bandar Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan.
Beliau berkata, kategori berisiko adalah seperti reflexology, pup dan bar manakala yang tidak berisiko seperti kedai pakaian,p kain dan sebagainya.
Maijol berkata MPS mencadangkan bagi kategori berisiko ianya beroperasi sehingga jam empat pagi dan yang tidak berisiko ianya beroperasi 24 jam.
Beliau memberitahu cadangan ekonomi malam itu merupakan salah satu usaha untuk menghidupkan semula pusat bandar Sandakan.
Katanya, pihak kementerian sudah pasti akan mempertimbangkan cadangan tersebut.
Sementara itu Majlis Perbandaran Sandakan mencadangkan agar sewa di bangunan kedai dapat diturunkan.
Presidennya Datuk Walter Kinsun berkata MPS berharap kadar sewa diturunkan RM2,500 ke bawah.
“Kadar sewa yang mahal merupakan salah satu sebab perpindahan berlaku ke tempat lain yang kadar sewanya rendah,” katanya.
Beliau turut menghadiri program Town Hall MPS Bersama Pemilik-Pemilik Kedai Pusat Bandar Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan.
Menurutnya, perpindahan perniagaan itu ke kawasan lain menyebabkan pusat bandar sepi.
“Tiada pengganti di kedai yang ditinggalkan di pusat bandar,” katanya lagi.
Walter berkata PMPS akan mengadakan perbincangan dengan pemilik kedai dan juga ejen hartanah.
” Kita akan meminta pemilik kedai untuk membuka kedai mereka dengan kadar sewa yang rendah,” katanya.
Sebagai balasan, katanya, MPS akan memberi diskaun 50 peratus cukai pintu pada tahun depan.
