PASUKAN POLIS MARIN WILAYAH 4 SABAH TERUS MEMPERHEBATKAN OPERASI DI PANTAI TIMUR SABAH BAGI MENYEKAT AKTIVITI PENYELUDUPAN

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN, 14 OGOS – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar Pantai Timur Sabah dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan serta ketirisan barangan kawalan.

Dalam dua tindakan berasingan di Sandakan pada 13 dan 14 Ogos, PPM Wilayah 4 Sabah berjaya merampas rokok tidak bercukai serta minyak masak bersubsidi bersama sebuah kenderaan dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM226,550

Dalam kes pertama pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 7.10 malam bertindak atas maklumat berkaitan penyimpanan rokok tidak bercukai, pasukan PPM Wilayah 4 Sabah telah menjalankan pemeriksaan di dua buah pondok tidak bernombor di kawasan hutan bakau, Kampung Batu 2 Sandakan.
Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah bungkusan yang disimpan di dalam dua buah pondok berasingan yang dipercayai dijadikan stor simpanan sementara bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa.
Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi 850 karton rokok putih tidak bercukai jenama Astro Merah yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk diedarkan di pasaran tempatan. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM204,000.00.
PPM W4 sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan pembekal & penjual bagi membenteras kegiatan ini secara total. Kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967.
Dalam kes kedua pada 14 Ogos 2026 kira-kira jam 2.20 pagi, hasil risikan dan pemantauan di Kampung Kombo, Jalan Leila Sandakan, pasukan PPM telah mengesan sebuah kenderaan yang tiba di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemukan sebanyak 1,020 paket minyak masak satu kilogram yang bersubsidi. Seorang lelaki berusia 41 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
PPM turut merampas sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper berwarna biru yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut. Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes kedua dianggarkan bernilai RM22,550.00 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kejayaan dua operasi berasingan ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM226,550.00. Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengekang kegiatan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan serta aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan amat dihargai bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan.

Share This Article