SIE2026 DIJANGKA TARIK LEBIH 30,000 PENGUNJUNG DARI 15 NEGARA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 13 OGOS – Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 (SIE2026) bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini dari 2 hingga 6 September depan dengan lebih 30,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung awam dari 15 negara dijangka menghadirinya.

Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Eksekutif Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Pengerusi MICCI Sabah, Datuk Susan Chang berkata SIE2026 merupakan antara inisiatif utama yang dirancang MICCI tahun ini bagi memperkukuh jaringan perniagaan, perdagangan dan pelaburan.

Menurutnya, ekspo berkenaan turut menyediakan platform untuk menggalakkan kerjasama industri selain mengetengahkan potensi ekonomi Sabah kepada pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa.

Antara program utama yang dirangka sempena SIE2026 ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Halal BIMP-EAGA Ke-3, Sabah International Business Luncheon Talk 2026 (SIBLT2026) serta Majlis Makan Malam Selamat Datang SIE2026 yang akan dihoskan Kerajaan Negeri Sabah.

Delegasi dan peserta dijangka hadir dari Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia (Semenanjung), Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.

Susan turut memaklumkan MICCI Sabah akan terus memainkan peranan aktif dalam kerjasama ekonomi serantau menerusi inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang mewakili pasaran berpotensi kira-kira 80 juta penduduk.

Sementara itu, Hajiji memuji MICCI Sabah atas peranan proaktifnya dalam menyokong pertumbuhan sektor swasta serta memupuk kerjasama lebih erat antara pemain industri dan kerajaan.

Share This Article