LAHAD DATU,4 OGOS – Seorang lelaki berusia 20 tahun maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah lori treler dan sebuah van di KM25 Jalan Lahad Datu-Sandakan, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4:23 pagi apabila lori treler jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu terlanggar lubang di jalan raya menyebabkan pemandu hilang kawalan.
Kenderaan itu kemudian memasuki lorong bertentangan dan melanggar bahagian tepi kanan van Toyota Hiace yang membawa enam orang penumpang.
Kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan selepas pelanggaran itu. Penumpang van berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori, pemandu van serta lima penumpang lain mengalami kecederaan ringan sahaja.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan pemandu lori treler yang gagal mengawal kenderaan selepas terlanggar lubang di permukaan jalan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi bin Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk maklumat lanjut bagi melancarkan siasatan.
Dalam pada itu, ACP Hj. Dzulbaharin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada, mematuhi had laju dan menumpukan perhatian sepenuhnya terutamanya melalui kawasan yang gelap atau permukaan jalan yang tidak sempurna.
“Langkah ini penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan menjamin keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.
