NEW CITY FC JULANG BURHAN AJUI LEGEND CUP 2026, LEGENDA BOLA SEPAK SANDAKAN DIHARGAI

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 2 OGOS – New City FC muncul juara edisi sulung Burhan Ajui Legend Cup 2026 selepas menewaskan Mighty Soccer FC 4-2 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Sandakan.

Kejohanan yang menghimpunkan 16 pasukan veteran dari Sandakan, Beluran, Telupid, Kinabatangan dan Keningau itu dianjurkan bagi menghargai jasa legenda bola sepak Sandakan di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti bola sepak veteran Sabah.

Turut mencuri tumpuan ialah Musketeers Tribute Cup, perlawanan penghargaan yang menyaksikan Pilihan Musketeers dan Kenyalang FC terikat 2-2 dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persahabatan.

Pada edisi sulung ini, penghormatan khas diberikan kepada Allahyarham Ali Hassan dan Mendiang Joseph Opai atas sumbangan serta legasi mereka dalam pembangunan bola sepak Sandakan.

Kejohanan turut mengangkat bekas pemain Sabah kelahiran Sandakan, Coach Burhan Ajui sebagai ikon edisi pertama sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangannya kepada arena bola sepak negeri.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengerusi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Manila, Rahmat Iskandar Ibrahim yang menyifatkan kejohanan itu bukan sekadar pertandingan bola sepak malah menjadi platform menghargai sejarah, jasa dan pengorbanan legenda sukan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Musketeers Football, Hardy Pudar berkata penganjuran kejohanan itu menjadi langkah awal ke arah pembangunan SDK Football Gallery, sebuah galeri yang bakal mendokumentasikan sejarah bola sepak Sandakan melalui koleksi data digital, gambar, memorabilia dan kisah pemain terdahulu sebagai warisan generasi akan datang.

Share This Article