KOTA KINABALU, 30 JULAI – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada 2,182 pelajar baharu dan sedia ada yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu disediakan bagi menampung tajaan pengajian pelajar sedia ada serta penerima baharu tahun 2026, dengan penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, penambahan penerima baharu itu menjadikan keseluruhan penerima tajaan BKNS kini seramai 13,389 orang sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini..
Beliau turut memaklumkan, BKNS menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini menjadikan jumlah keseluruhannya 60 orang, manakala Kumpulan Yayasan Sabah meningkatkan penerima anugerah cemerlang kepada 50 orang.
Dalam usaha memperkukuh sektor kesihatan, kerajaan negeri turut menaja 30 anak Sabah mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang perubatan dan kesihatan melalui kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College, selain 15 pelajar mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College.
Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan juga meneruskan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan termasuk Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), bantuan zakat MUIS serta pelbagai skim bantuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan dan Pendidikan Yayasan Sabah bagi meringankan beban kewangan pelajar.
Pada masa sama, Hajiji menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian SPM 2025 apabila Sabah merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85, iaitu pencapaian terbaik dalam sejarah negeri sambil menggesa pelajar terus cemerlang dan merebut peluang dalam bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, TVET serta kecerdasan buatan AI.
