SANDAKAN, 30 JULAI – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menerusi Operasi Bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah Sandakan pada 29 hingga 30 Julai berjaya membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang dengan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan, rampasan, kompaun serta anggaran kerugian mencecah RM433,077.00.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata operasi tersebut menumpukan kawasan penempatan koloni setinggan sekitar Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting, dan Pusat Bandar Sandakan.
“Operasi bersepadu ini mencatatkan pelbagai kejayaan melibatkan kesalahan imigresen, perburuhan, penyeludupan, penyalahgunaan barang kawalan, sambungan utiliti haram, lesen perniagaan hingga pencerobohan hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi berkenaan, seramai 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merangkumi 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia telah ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Semua tahanan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Sementara itu, tindakan penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi turut merekodkan beberapa rampasan utama iaitu
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 bernilai RM20,000.00.
Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) Menyita 300 kilogram kabel sambungan elektrik haram bernilai RM15,000.00 sekali gus mengekang anggaran kerugian hasil utiliti yang mencecah RM300,000.00.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula merampas 1,105 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762.00 dan menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049.00 (Jumlah rampasan RM22,811.00).
Jabatan Hidupan Liar Sabah telah merampas 1,550 biji telur penyu bernilai RM7,750.00 bagi mengekang pasaran gelap dan melindungi spesies marin terancam.
Polis Diraja Malaysia (BSJND IPD Sandakan) Menahan dua lelaki bersama rampasan 0.07 gram syabu di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain rampasan barangan, penguatkuasaan terhadap undang-undang perburuhan dan premis turut diperketatkan antaranya Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun dan sembilan notis kesalahan di bawah Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), serta mengarahkan pembayaran serta-merta tunggakan gaji minimum bernilai RM116 di bawah Akta Perintah Gaji Minimum 2024 (Jumlah nilai tindakan:RM60,116.00)
Sementara itu pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Menyita barangan jualan tanpa lesen bernilai RM6,500.00
dan mengeluarkan kompaun RM300.00 di bawah Trades Licensing Ordinance (Sabah Cap. 144).
Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan dua notis hadir ke pejabat atas kesalahan penyambungan air haram bernilai kompaun RM600.00 di bawah Seksyen 50 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.
Menurut Victor, operasi bersepadu melibatkan seramai 263 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan termasuk PDRM, PGA, 22 RAMD, Pasukan Polis Marin, APMM, JIM, JKDM, KPDN, JTK, SESB, JANS, Jabatan Hidupan Liar, MPS, JPN, dan APM.
Beliau menegaskan bahawa ancaman di Zone Selamat Sabah Timur (ESS Zone) tidak hanya terhad kepada jenayah rentas sempadan malah merangkumi aktiviti ekonomi haram yang merugikan hasil negara dan menjejaskan keselamatan masyarakat.
“Sejajar dengan hasrat ESSCOM iaitu Tiada Hari Tanpa Operasi’ pendekatan penguatkuasaan bersepadu berasaskan risiko dan analisis ancaman akan terus dipertingkat secara berterusan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan di ESS Zone diminta menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau menerusi WhatsApp di 011-63311072
