KOTA BELUD, 30 JULAI-Seorang warga emas lelaki berusia 78 tahun yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemui selamat oleh orang awam di kawasan Kampung Payas-Payas, di sini petang semalam.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian balai pada jam 8.30 pagi.
Panggilan berkenaan dibuat oleh anak mangsa yang memaklumkan bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 3.00 petang sehari sebelum kejadian dan tidak pulang ke rumah.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Masbi Peran berkata, seramai 10 anggota bersama tiga jentera, masing-masing sebuah First Response Tender (FRT), unit EMRS dan Toyota Hilux (VIGO) digerakkan ke lokasi yang terletak lapan kilometer dari balai dan tiba pada jam 8.40 pagi.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh orang awam di kawasan kampung berkenaan pada jarak kira-kira 300 meter dari rumahnya.
“Semasa ditemui mangsa berada dalam keadaan lemah namun selamat,” katanya.
Pasukan bomba kemudiannya memberikan bantuan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi kejadian, operasi pencarian yang turut dibantu oleh dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang.
