SOOK, 30 JULAI – Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sook berjaya menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinulihan, pagi tadi.
Operasi dilancarkan sejurus APM menerima makluman daripada Pejabat Daerah Sook berhubung kenaikan mendadak paras air akibat limpahan Sungai Sook.
Pemeriksaan awal di lokasi mendapati limpahan air menjejaskan kawasan padang, kelas Tabika serta bilik darjah Tahun 1 hingga Tahun 6.
Pegawai APM Daerah Sook memaklumkan hasil pemantauan di kawasan terjejas mendapati seorang wanita terperangkap di sebuah rumah guru di dalam kawasan sekolah berkenaan.
“Pasukan APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak pantas menjalankan operasi menyelamat menggunakan bot dan berjaya memindahkan mangsa ke lokasi selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Selesai operasi, petugas APM dan JBPM turut memberikan khidmat nasihat kepada warga sekolah agar sentiasa berwaspada memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Keadaan di lokasi kini dilaporkan semakin terkawal dengan paras air mula menunjukkan trend penurunan, manakala bacaan di Sungai Sook dan Sungai Pegalan Ansip berada pada paras normal.
Pihak APM Sabah menegaskan akan terus mempertingkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi (hotspot) banjir serta berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
