KOTA KINABALU,26 JULAI- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa berlaku kematian tahanan warganegara Filipina akibat kesesakan di Depot Tahanan Imigresen Sabah.
JIM menegaskan dakwaan dan gambar yang tular adalah tidak benar, tidak berasas serta mengelirukan.
Semua tahanan berada dalam keadaan baik dan menerima kemudahan asas termasuk makanan, rawatan perubatan serta penjagaan mengikut prosedur yang ditetapkan.
JIM turut menjelaskan bahawa kelewatan penghantaran pulang tahanan berpunca daripada penggantungan laluan kapal Sandakan–Zamboanga oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari 2026. Proses repatriasi kini diteruskan melalui laluan alternatif.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan hanya merujuk kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.
