ISLAND SURVIVAL & REMOTE MEDICAL RESPONDER COURSE TINGKAT KESIAPSIAGAAN PETUGS DI KAWASAN PEDALAMAN DAN KURANG SUMBER

sabahheadlines
5 Min Read

LAHAD DATU, 9 JULAI– Seramai 32 peserta dari seluruh Malaysia serta beberapa negara luar telah menyertai Island Survival & Remote Medical Responder Course 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 4 hingga 6 Julai 2026 di Pulau Tabawan, Teluk Darvel, Lahad Datu.

Program berintensiti tinggi itu dikendalikan oleh 12 orang jurulatih dan fasilitator yang berpengalaman dalam bidang perubatan kecemasan, wilderness medicine, bushcraft dan operasi menyelamat.

Program ini dianjurkan oleh Wilderness EMS Sabah Team, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datudengan kerjasama Wilderness and Austere Medicine Society (WAMS) Malaysia, Wilderness Medicine Special Interest Group, College of Emergency Physicians Malaysia (MyCEP), Malaysia Instructor of Bushcraft & Survival Association (MIBSA), Survival Instructor World Association (SIWA) serta WildMed Solutions.

Berbeza daripada kursus perubatan konvensional, latihan ini menggabungkan kemahiran perubatan kecemasan dengan ilmu survival bagi menyediakan petugas menghadapi situasi sebenar di kawasan pedalaman, pulau terpencil, hutan, lokasi bencana dan kawasan yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan.

Sepanjang latihan, peserta hanya dibekalkan dengan ration makanan yang terhad bagi mensimulasikan keadaan sebenar di lapangan. Mereka didedahkan kepada pelbagai kemahiran survival termasuk membina tempat perlindungan, mendapatkan sumber air, merawat air tercemar sehingga selamat diminum, mengenal pasti sumber makanan hutan dan laut, navigasi menggunakan kompas serta GPS, selain teknik komunikasi di kawasan tanpa liputan telekomunikasi.

Dalam komponen perubatan, peserta dilatih mengendalikan pelbagai kecemasan yang lazim berlaku di kawasan pedalaman seperti strok haba, hipotermia, gigitan ular, kecederaan trauma, lemas, rawatan lapangan berpanjangan (prolonged field care) serta operasi mencari dan menyelamat (search and rescue) bagi mangsa yang hilang.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu, Dr Muis Takim, berkata hospital berkenaan komited membangunkan latihan perubatan kecemasan di persekitaran liar, pedalaman dan kurang sumber sejak tahun 2015.

Menurut beliau, kedudukan geografi Lahad Datu yang dikelilingi kawasan hutan, pulau-pulau, perairan dan penempatan terpencil menjadikan daerah ini lokasi yang sesuai untuk pembangunan kepakaran dalam bidang wilderness medicine. Melalui latihan berterusan, petugas kesihatan bukan sahaja dipersiapkan menghadapi cabaran operasi di Sabah, malah mampu memberikan khidmat kepada misi kemanusiaan, pengurusan bencana dan operasi menyelamat di seluruh negara.

Sementara itu, Felo Wilderness, Emergency & Extreme Medicine, Dr Muhamad Na’im Ab Razak, berkata petugas perubatan di kawasan pedalaman memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran klinikal.

“Di hospital, kita mempunyai bekalan elektrik, oksigen, ubat-ubatan dan peralatan yang lengkap. Namun, keadaan amat berbeza apabila berada di tengah hutan, pulau terpencil atau kawasan bencana. Petugas perlu tahu bagaimana untuk terus hidup, melindungi diri dan memastikan pesakit terus menerima rawatan walaupun sumber sangat terhad.

“Sebagai contoh, dalam keadaan cuaca yang ekstrem, seseorang hanya mampu bertahan kira-kira tiga jam tanpa perlindungan yang sesuai. Pada masa yang sama, proses membawa pesakit keluar dari kawasan pedalaman mungkin mengambil masa berjam-jam atau sehingga beberapa hari bergantung kepada cuaca, keadaan muka bumi dan kemudahan pengangkutan. Oleh itu, petugas perlu menguasai konsep rawatan lapangan berpanjangan di samping memastikan keperluan asas seperti air, makanan, perlindungan dan keselamatan pesakit sentiasa dipenuhi.

“Apabila bekalan makanan dan air semakin berkurangan, kemahiran mendapatkan sumber air bersih dan makanan daripada persekitaran bukan sahaja meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa, malah turut memastikan penyelamat kekal berfungsi sepanjang operasi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perubahan iklim, peningkatan aktiviti rekreasi luar, kejadian bencana alam serta operasi di kawasan terpencil menyebabkan keperluan terhadap petugas yang mempunyai kemahiran wilderness medicine semakin meningkat di Malaysia.

Walaupun latihan berlangsung dalam keadaan mencabar dengan cuaca panas, kawasan berbukit serta simulasi operasi yang berterusan, keseluruhan program berjaya dilaksanakan dengan selamat. Beberapa peserta mengalami kecederaan ringan seperti luka melecur, kecederaan mata, calar, terseliuh dan sakit otot akibat aktiviti latihan. Semua mangsa diberikan rawatan segera oleh pasukan perubatan di lapangan sebelum dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan pesakit luar.

Penganjur berharap kursus seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform pembangunan profesional kepada petugas kesihatan, anggota penyelamat, pasukan beruniform dan penggiat aktiviti luar, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kecemasan di kawasan pedalaman, kurang sumber dan persekitaran ekstrem.

Share This Article