LAHAD DATU, 5 JULAI- Golongan belia diseru supaya mengutamakan perpaduan dan berfikir panjang sebelum menyertai sebarang demonstrasi yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Haji Abdul Hakim Gulam Hassan berkata setiap tindakan perlu dibuat secara matang kerana sesuatu yang bermula daripada perkara kecil boleh berkembang menjadi isu yang lebih besar jika tidak ditangani dengan baik.
Beliau berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi di Sabah hasil daripada semangat saling menghormati antara masyarakat pelbagai kaum dan agama perlu terus dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Mungkin hari ini perhimpunan itu kelihatan kecil tetapi jika dibiarkan berlarutan, ia dikhuatiri tidak akan membawa kebaikan kepada masyarakat.
“Malaysia mengamalkan sistem demokrasi namun setiap tindakan hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab serta menghormati undang-undang dan nilai perpaduan,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak yang memuat naik kandungan di media sosial memaparkan gambar pemimpin Sabah yang dilukis dan dipijak.
Menurutnya, perbuatan sedemikian tidak mencerminkan akhlak yang baik malah bercanggah dengan nilai hormat-menghormati yang menjadi tunjang kehidupan bermasyarakat.
“Kita perlu mengakui bahawa tiada manusia yang sempurna. Begitu juga pemimpin, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Perbezaan pandangan tidak seharusnya diterjemahkan melalui tindakan menghina atau menjatuhkan maruah mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Tungku di Masjid Jamek Haji Amir Abdullah, Kampung Bikang, pada Ahad.
Lebih 1,000 penduduk menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Daerah Tungku, Haji Mohamed Nurun.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Abdul Hakim menegaskan pendekatan “masuk kampung” wajar diperluaskan dalam penganjuran program kemasyarakatan dan keagamaan.
Menurut beliau, pemimpin dan agensi perlu lebih kerap turun padang menyantuni masyarakat di kampung-kampung berbanding mengharapkan penduduk hadir ke sesuatu program kerana pendekatan itu lebih dekat dengan rakyat dan mampu memperkukuhkan hubungan silaturahim serta penyampaian perkhidmata
