MADANI DIHAYATI, UMAT DIBERKATI ’ KEKALKAN PERPADUAN, JAUHI FITNAH MEDIA SOSIAL – DATUK NORAZLINAH

sabahheadlines
3 Min Read

​LAHAD DATU, 5 JULAI – Umat Islam digesa untuk memperkukuhkan rasa persaudaraan dan membina benteng pertahanan minda yang kuat bagi mendepani cabaran zaman MODEN khususnya ancaman fitnah dan rasisme di media sosial.

​Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Norazlinah binti Arif menegaskan bahawa tema Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini “Madani Dihayati, Umat Diberkati” menuntut masyarakat untuk beralih daripada budaya prasangka kepada sikap tabayyun (menyemak kebenaran).

​”Hari ini umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran moden. Ia tidak lagi sekadar peperangan fizikal tetapi hadir halus melalui fitnah media sosial, penyebaran berita palsu, budaya saling menghina, dan hilangnya adab ketika berbeza pandangan.

​”Sebab itu Islam mengajar kita menuntut kebenaran dengan hikmah. Kita perlu berhijrah daripada perpecahan kepada persatuan dan daripada kebencian kepada kasih sayang,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Daerah Lahad Datu 1448H/2026M di Dewan Tun Mustapha, semalam.

​Beliau turut menyentuh mengenai tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan Negeri sambil menjelaskan bahawa setiap ketetapan yang dibuat memerlukan kebijaksanaan demi melihat maslahat serta kepentingan yang lebih besar untuk rakyat.

​Dalam majlis yang dihadiri sekitar 800 orang itu, Datuk Norazlinah turut memberi maklum balas segera terhadap isu prasarana dewan yang dibangkitkan oleh Pegawai Daerah dan berjanji akan memanjangkan permohonan tersebut terus kepada Ketua Menteri Sabah.

​Terdahulu, Pegawai Daerah Lahad Datu merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah, Firuz Idzualdeen @ Benetty bin Mohd Dzul dalam ucapannya menyifatkan sambutan Ma’al Hijrah sebagai sebuah ‘madrasah’ yang memberi peluang terbaik untuk masyarakat melakukan transformasi diri.

​Beliau mengajak seluruh warga Lahad Datu menghayati nilai kemanusiaan, kemampanan, kasih sayang dan sikap saling menghormati dalam meniti tahun baharu Islam.

​Namun beliau turut mengambil kesempatan menyuarakan kegelisahan masyarakat setempat mengenai keadaan Dewan Tun Mustapha yang menjadi pusat utama acara keagamaan daerah yang kini daif dan memerlukan sistem penghawa dingin yang lebih mampan demi keselesaan orang ramai.

​Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin bin Hj Ismail, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi bin Ariff in, Pengarah ILIM Lahad Datu, Ustaz Mizzuan bin Jafilus serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

​Kemuncak majlis itu menyaksikan pengiktirafan buat tokoh-tokoh tempatan yang banyak berjasa kepada masyarakat iaitu Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah kategori wanita disandang oleh Saedah binti Abdul Wahid dan bagi kategori lelaki Ustaz Mohd Yunus bin Abu bagi 1448/2026M.

Sementara itu Anugerah Tokoh Murabbi diberikan kepada Ustaz Shamlan Hamedi Bin Ali Kassim manakala
Anugerah Khas (Kerajaan Negeri) disandang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Lahad Datu dan
Anugerah Khas (Kerajaan Persekutuan) diberikan kepada Jabatan Pendidikan Lahad Datu.

Bagi Anugerah Belia diberikan kepada Aliff Afendy Ali dan Anugerah kategori Pelajar diberikan kepada pelajar cemerlang Nurul Atiqah, .

Ceramah khas Ma’al Hijrah disampaikan oleh Penceramah Bebas, Dr. Abdullah Azzam bin Abd Rashid.

Share This Article