39 BELIA SABAH DIPERKASA JADI EJEN PERUBAHAN IKLIM MELALUI YOUTH CAMP EDISI KEDUA

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN,5 JULAI-Seramai 39 belia daripada lapan institusi pendidikan di Sabah diperkasa sebagai ejen perubahan dalam usaha menangani isu perubahan iklim menerusi Youth Camp on Climate Change Edisi Kedua.

Ia sekali gus memperkukuhkan peranan generasi muda sebagai pemimpin kelestarian alam sekitar pada masa depan.

Program selama tiga hari di Rainforest Discovery Centre (RDC), Sandakan itu dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah menerusi RDC dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) sebagai ahli Sabah Environmental Education Network (SEEN) selain mendapat sokongan Majlis Perbandaran Sandakan serta City Express Recycling Sdn. Bhd.

Berteraskan konsep experiential learning atau pembelajaran melalui pengalaman, program itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai isu perubahan iklim menerusi sesi perkongsian ilmu, aktiviti lapangan dan tugasan berkumpulan yang turut membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis serta semangat kerja berpasukan.

Sebagai kesinambungan program, setiap kumpulan peserta turut menyahut Climate Action Call, iaitu komitmen untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu inisiatif tindakan iklim di sekolah, kolej atau institusi masing-masing dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Pelaksanaan inisiatif itu akan dipantau oleh pihak penganjur bagi memastikan impak program diterjemahkan kepada tindakan sebenar di peringkat komuniti.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat N.56 Tanjong Papat merangkap Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen P.186 Sandakan, Max Million Lee yang mewakili Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee. Turut hadir Timbalan Ketua Konservator Hutan (Perancangan dan Pengurusan), Indra Purwandita Henry Sunjoto yang mewakili Ketua Konservator Hutan, Datuk Zulkifli Suara.

Dalam ucapan yang disampaikan bagi pihak Vivian Wong, Max berkata penyertaan aktif golongan belia dalam program seumpama itu membuktikan semakin ramai generasi muda mempunyai kesedaran tinggi terhadap cabaran perubahan iklim dan bersedia memainkan peranan sebagai sebahagian daripada penyelesaiannya.

Beliau berkata, pengetahuan mengenai perubahan iklim sahaja tidak memadai tanpa disusuli tindakan yang konsisten.

Justeru katanya para peserta diharap terus menjadi pemangkin kepada amalan gaya hidup lestari serta mampu mempengaruhi masyarakat di sekeliling mereka untuk bersama-sama memelihara alam sekitar.

Menurutnya, usaha memperkasakan belia menerusi pendidikan alam sekitar dan tindakan iklim adalah pelaburan penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu malah bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian alam untuk manfaat generasi akan datang.

Share This Article