Mayat Mangsa Perlanggaran Bot di Semporna Ditemui, Operasi CARILAMAT Ditamatkan

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 11 Januari – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang mangsa yang hilang dalam insiden perlanggaran dua bot penumpang di perairan Semporna pada Jumaat lalu, ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi hari ini.

Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan, mayat mangsa, Rosman bin Kandau, 24, ditemui pada jam 8.37 pagi di perairan Kampung Terusan Baru, kira-kira 3.4 batu nautika tenggara Jeti Pelancong Semporna.

Menurut kenyataan itu, mayat mangsa berjaya dibawa naik oleh bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Jeti Marin dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Ahli keluarga mangsa turut hadir di lokasi bagi tujuan pengecaman dan telah mengesahkan identiti mangsa yang dicari sejak insiden berlaku.

Terdahulu, kejadian perlanggaran dua bot penumpang itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 9 Januari lalu, pada jarak 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancong Semporna.

Insiden tersebut mengakibatkan empat individu termasuk juragan bot mengalami kecederaan, manakala seorang mangsa dilaporkan hilang di laut.

Operasi pencarian yang memasuki hari ketiga hari ini meliputi kawasan seluas 17 batu nautika persegi, dengan penglibatan tujuh aset laut daripada pelbagai agensi keselamatan.

Antara agensi terlibat ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

MRSC Kota Kinabalu mewakili Pengarah Zon Maritim Semporna merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama erat sehingga mangsa berjaya ditemui.

TAMAT

Share This Article