SABAH PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN – HAJIJI

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU, 29 JUN – Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pembangunan bakat tempatan menjadi antara keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah mampu merebut peluang pekerjaan berkualiti tinggi hasil kemasukan pelaburan baharu serta pertumbuhan sektor ekonomi strategik.

Menurut beliau, kerajaan mahu melihat lebih ramai anak Sabah muncul sebagai jurutera, teknologis, juruteknik mahir, saintis data, pakar AI dan pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 kepada kesatuan-kesatuan sekerja Sabah di Ballroom Hotel Magellan Sutera, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Hajiji berkata, dunia pekerjaan kini sedang mengalami transformasi pesat dipacu teknologi digital, automasi dan AI yang mengubah landskap pekerjaan serta mewujudkan pelbagai peluang kerjaya baharu yang memerlukan kemahiran berbeza.

Sehubungan itu, beliau menyeru kesatuan sekerja agar bergerak seiring dengan perubahan semasa melalui usaha memperkukuh pendigitalan organisasi, meningkatkan kemahiran ahli (upskilling) serta mematuhi piawaian antarabangsa.

Katanya, kerjasama erat antara kesatuan sekerja, majikan, institusi latihan dan agensi kerajaan amat penting dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada para pekerja.

Menurut Hajiji, agenda berkenaan selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 yang memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya menjadi laluan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang diperlukan industri masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju serta teknologi hijau yang memerlukan tenaga kerja kompeten dan berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kejayaan pembangunan negeri memerlukan kerjasama kukuh antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni serta mampan.

Beliau turut menggesa majikan mengamalkan budaya kerja yang adil, prihatin dan berintegriti, manakala pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahiran serta pengetahuan supaya kekal relevan dengan kehendak industri.

Katanya, pemimpin kesatuan sekerja juga perlu terus memainkan peranan sebagai suara yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh dalam memperjuangkan kebajikan pekerja serta menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan penting kesatuan sekerja sebagai jambatan yang menghubungkan aspirasi pekerja, majikan dan kerajaan selain menjadi antara pemangkin kepada kestabilan hubungan perusahaan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Menerusi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS), Kerajaan MADANI memperuntukkan RM6.1 juta bagi pelaksanaannya di seluruh negara tahun ini, termasuk RM310,000 yang disalurkan kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.

Hajiji berharap peruntukan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kompetensi ahli, memperkukuh sistem pengurusan organisasi serta melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan pekerja.

Share This Article