LELAKI TANPA DOKUMEN DIREMAN, MILIKI 1,050 LITER PETROL DI SEMPORNA

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 19 JUN– Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri direman selama empat hari selepas ditahan bersama 1,050 liter minyak petrol dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 yang dijalankan di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum, di sini.

Rampasan hasil serahan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna itu membabitkan 41 jeriken berisi 1,025 liter petrol, 25 liter petrol bercampur minyak 2T, sebuah bot kayu serta enjin sangkut Yamaha 75 kuasa kuda.

KPDN memaklumkan nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM3,813, manakala keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan mencecah RM7,206.

Susulan penahanan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kemungkinan berlakunya aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

KPDN turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peruntukan undang-undang, dengan kesalahan di bawah akta berkenaan boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama jika disabitkan.

Share This Article