KOTA KINABALU,17 MEI- Pindaan perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mendapat sokongan penuh.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor memberitahu perkara itu kepada media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Kita bersyukur kerana perwakilan memberi sokongan penuh kepada pindaan itu … kita akan memaklumkan perkara ini kepada Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya di sini hari ini.
Pindaan yang disokong pada Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat itu menyaksikan parti itu beralih daripada mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kawasan parlimen.
Sebelum ini Gagasan Rakyat memiliki 74 bahagian termasuk Labuan dan selepas pindaan, parti itu hanya memiliki 24 bahagian termasuk Labuan.
Hajiji berkata, pengemaskinian struktur parti menggunakan kawasan parlimen akan dilakukan.
“Kita akan mengemukakan kepada ROS untuk kelulusan dan akan melakukan pengemaskinian struktur parti,” katanya.
Mengenai usul yang dikemukakan pada perhimpunan agung khas itu, beliau berkata, ianya telah dibahaskan.
Usul itu telah dibahaskan oleh perwakilan beliawanis, pemuda, wanita dan bahagian, katanya “dan ini bermakna usul pindaan perlembagaan disokong sebulat suara.”
Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan penyertaan ahli dan penyokong Warisan daripada bahagian Keningau ke Gagasan Rakyat.
“Saya gembiira kerana mereka mahu menyertai kita dan mahu berjuang bersama Gagasan Rakyat,” katanya lagi.
