LAHAD DATU, 16 MEI-Usaha memperkasa ekonomi komuniti dan menyantuni golongan memerlukan terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Konvoi Siri Jelajah Sabah 2026 oleh Sri Semantan Privilege Club (SSPC) yang menjelajah beberapa daerah utama di negeri ini sejak awal Mei lalu.
Program yang berlangsung di Hotel De Leon di sini baru-baru ini menjadi antara platform utama SSPC memperluaskan jaringan komuniti selain memperkenalkan peluang pembangunan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Penyelaras Jelajah Prihatin Sabah 2026, Mohd Faizal Radzali berkata, program berkenaan membawa aspirasi “Bersama Memacu Ekonomi Sabah Ke Arah Kejayaan” dengan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu, jaringan perniagaan dan peluang meningkatkan taraf ekonomi komuniti.
Menurut beliau, program itu bukan sekadar menyalurkan bantuan kebajikan malah bertujuan membantu masyarakat membina semula keyakinan diri serta menjana pendapatan melalui peluang ekonomi yang disediakan.
“Konsep ‘memurnikan emas’ digunakan sebagai simbolik usaha mengenal pasti potensi masyarakat untuk dibimbing dan diperkasakan menerusi latihan kemahiran, pemasaran serta pembangunan diri,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 100 golongan asnaf menerima sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan pihak penganjur bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Program jelajah berkenaan melibatkan konvoi 33 kenderaan yang memulakan perjalanan di Kota Kinabalu pada 4 Mei lalu sebelum menamatkan siri jelajah di lokasi sama pada 15 Mei.
Antara daerah yang terlibat sepanjang jelajah itu ialah Kota Belud, Kudat, Paitan, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.
Konvoi itu turut melibatkan pelbagai jenis kenderaan sebagai simbolik semangat perpaduan dan gerakan menyantuni masyarakat di seluruh Sabah.
Selain memperkukuhkan hubungan komuniti, program berkenaan turut membuka peluang kepada orang ramai menyertai keluarga besar SSPC serta mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti dan manfaat yang ditawarkan kelab berkenaan.
Antara fokus utama program ialah memperluaskan jaringan hubungan, menyediakan ilmu bernilai, membantu perkembangan perniagaan serta melahirkan kejayaan berterusan dalam kalangan ahli dan peserta.
