BEAUFORT, 15 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan sebuah lori yang dipercayai membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah dalam serbuan di Kampung Klias, Jalan Bypass, petang kelmarin.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata, pemeriksaan terhadap lori dalam keadaan mencurigakan itu menemukan tong gas petroleum cecair (LPG), gula pasir, minyak masak pelbagai jenama serta minyak petrol yang disyaki disimpan dan dibawa tanpa kebenaran.
Menurutnya, pemandu lori warga tempatan berusia 52 tahun gagal mengemukakan permit membeli, membawa dan menyimpan minyak petrol yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan semua barang kawalan turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9,218,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di negeri ini.
