RUSLAN JADI BAPA ANGKAT PPK BEAUFORT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,14 MEI-Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam bersetuju menjadi Bapa Angkat kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beaufort.

Pengerusi PPK Beaufort, Datuk Mohd Nazri Abdullah menyatakan demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Beaufort, di sebuah hotel di sini.

Turut hadir Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.

Mohd Nazri berkata pemilihan Ruslan sebagai Bapa Angkat mampu memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara PPK Beaufort dengan kepimpinan kerajaan negeri, khususnya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Katanya, pengalaman serta komitmen Ruslan dalam memperjuangkan agenda pembangunan pertanian, perikanan dan industri makanan di Sabah diyakini dapat membantu memperkasakan lagi peranan PPK Beaufort dalam membela nasib golongan peladang di kawasan itu.

“PPK Beaufort amat menghargai kesediaan Datuk Ruslan yang juga Ahli Jemaah Jemaah Pengarah PPK Beaufort untuk bersama-sama membantu memperkukuh pembangunan sektor peladang dan pertanian di kawasan Beaufort.

“Kita berharap hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama serta manfaat kepada ahli-ahli peladang, khususnya dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka,” katanya.

Mohd Nazri yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) turut menyifatkan pelantikan itu sebagai simbol sokongan dan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan komuniti peladang di peringkat akar umbi.

Mesyuarat AJP PPK Beaufort turut membincangkan pelbagai agenda berkaitan pengukuhan organisasi, pembangunan ekonomi peladang serta perancangan program masa depan PPK tersebut.

Share This Article