KOTA KINABALU, 14 MEI- Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pemadaman kebakaran bateri litium.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS itu melibatkan kerjasama menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dalam usaha memacu inovasi serta penyelidikan berimpak tinggi berkaitan pengurusan kebakaran.
Kerjasama berkenaan turut menggabungkan kepakaran penyelidikan saintifik, operasi kebombaan dan penerbitan ilmiah bagi menyokong pembangunan kaedah mitigasi kebakaran yang lebih berkesan serta mampan di negara ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM, PKPjB Kamarulzaman Malik Abdullah dan Pengarah Bomba Sabah, PKPjB Mohd Pisar Aziz bersama pegawai kanan kedua-dua agensi.
