KUALA LUMPUR, 14 MEI – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan menerusi RTM dan Unifi TV hasil kerjasama strategik bersama Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
Beliau berkata kerjasama itu membolehkan rakyat menikmati siaran kejohanan bola sepak terbesar dunia tanpa kos tambahan selain memperluas akses kandungan berkualiti menerusi platform penyiaran awam.
Menurut Fahmi, Unifi TV akan menayangkan semua perlawanan secara langsung manakala RTM menyiarkan sebahagian besar aksi sama ada secara langsung atau siaran tertunda mengikut jadual ditetapkan.
Sementara itu Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail berkata penglibatan penaja korporat membantu mengurangkan kos kerajaan bagi mendapatkan hak penyiaran kejohanan berprestij itu.
Edisi 2026 bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dengan aksi pembukaan dijadualkan di Mexico City pada 11 Jun manakala final berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.
