BEAUFORT, 13 Mei : Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Beaufort di hadapan Kampung Melulugus di sini, pada Rabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu suspek ditahan ketika pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis di kawasan berkenaan.
Hasil saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk tindakan lanjut sebelum direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri.
