TUARAN ,29 Nov — Gelombang sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pantai Dalit malam tadi mencatatkan suasana luar biasa apabila ratusan penduduk tetap hadir meskipun berdepan hujan serta keadaan jalan yang berlumpur.
Kehadiran calon GRS N.12 Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya disambut penuh semangat oleh masyarakat tempatan yang hadir sebagai tanda keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Turut memeriahkan program itu ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, serta Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang hadir memberikan sokongan dan menyuntik motivasi kepada jentera serta penyokong GRS.
Sokongan padu masyarakat ini dilihat berpunca daripada pengalaman lima tahun bersama seorang pemimpin yang konsisten turun padang, mendengar keperluan rakyat dan membawa pembangunan yang nyata di kawasan itu.
Semangat akar umbi yang semakin kuat, jentera parti yang teratur serta keyakinan rakyat yang terus meningkat, Pantai Dalit dilihat berada pada landasan untuk memilih masa depan yang lebih stabil dan progresif di bawah pentadbiran GRS.
Sementara itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut menyatakan keyakinannya bahawa momentum sokongan seperti yang ditunjukkan di Pantai Dalit ini menjadi petanda jelas penerimaan rakyat terhadap usaha pembaharuan dan pembangunan yang dibawa GRS.
TAMAT
