LELAKI WARGA ASING DITAHAN, POLIS RAMPAS KETAMIN DAN PIL DAN PIL EKSTASI BERNILAI LEBIH RM17,000

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syamilah Salleh

LAHAD DATU: 1 Julai – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dalam satu serbuan Ops Tapis yang dijalankan pada 30 Jun 2025 kira-kira jam 10.30 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pisang, Jalan Bakawali di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, SUPT Jimmy Panyau berkata, dalam operasi tersebut, seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dikenal pasti sebagai warganegara Filipina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah disyaki jenis ketamin seberat 13.12 gram dianggarkan bernilai RM2,624.00, serta pil ekstasi seberat 89.63 gram dengan anggaran nilai pasaran sekitar RM14,900.00.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai berjumlah RM537.00 serta seunit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran.

Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Polis menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah demi membanteras jenayah narkotik di daerah ini.

TAMAT

Share This Article