PUTRAJAYA, 14 MEI- Jabatan Pendaftaran Negara memberi jaminan proses penukaran MyKad Struktur Baharu yang bermula Jun ini tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada penerima layak.
Menurut JPN, bantuan menggunakan MyKad termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 akan terus disalurkan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Katanya, data penerima sedia ada akan dikekalkan dalam sistem bagi memastikan tiada nama tercicir sepanjang proses migrasi dan pertukaran kad pengenalan dilakukan.
JPN turut memaklumkan kerjasama telah dijalinkan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan integriti data dan penyaluran bantuan berjalan lancar.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin yang mendakwa bantuan kerajaan akan dihentikan sekiranya MyKad tidak ditukar segera.
Proses penukaran akan dilaksanakan secara berfasa manakala tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.
